Friday, February 20, 2009

pitching...

..pitching ni tak ada kena mengena dengan Akedemi Fantasia atau Malaysian Idol....tetapi sangat kena mengena dengan tender perbekalan rancangan-rancangan untuk siaran RTM. Tetapi kalau pitching yang ini tak kena, alamat produser tak dapat projeklah jawabnya. Jadi sebagai penulis skrip saya bertanggungjawab menjaga pitching saya sewaktu berhadapan dengan panel perbekalan....bukan senang jadi penulis skrip sekarang ni..pitching pun kena jaga juga....maksudnya? Saya akan jelaskan dalam posting-posting selanjutnya....

Thursday, February 19, 2009

Andai itu takdirnya....

Selepas sebulan tidak menjenguk blog sendiri, kini saya kembali. Ingin menemui penjenguk yang sudi, tapi apakan daya, takdir menentukan saya tidak berdaya melakukannya. Alhamdulillah, dengan kesihatan yang masih ada ini saya cuba untuk melakar sesuatu di sini...Insyaallah kita akan terus bertemu selepas ini...

Monday, January 26, 2009

SALAM MAAF DAN TERIMA KASIH

UCAPAN ini tidak memadai untuk anda yang setia menyokong saya. Baik dalam soal berkarya,mahupun kepada perkara-perkara yang lainnya.Tetapi saya tidak ada ungkapan lain yang mampu diucapkan selain ungkapan terima kasih itu sebagai tanda penghargaan kepada anda semua. Anda membaca novel-novel tulisan saya dan memberi komen dan pandangan mengenainya, anda menonton drama-drama hasil garapan skrip yang saya tulis dan anda memberi ulasan jujur mengenainya, anda membaca tulisan-tulisan saya di dalam majalah-majalah dan anda mengirim maklum balas kepada saya-semua itu merupakan kekuatan dan dorongan untuk saya terus berkarya.Tanpa anda dan tanpa kekuatan yang diberikanNya, saya bukan sesiapa di persada dunia penulisan ini.
Waktu berlalu begitu pantas. Tanpa saya sedari sudah hampir tiga puluh tahun saya di dalam bidang ini. Dari usia belasan, sehingga hampir bergelar warga emas tidak lama lagi, rupa-rupanya bakul karya saya semakin penuh. Tetapi istilah jemu itu tidak pernah hadir. Selagi penerbit mahukan novel, skrip dan bahan-bahan penulisan saya, selagi itulah saya akan terus berjuang. Andalah yang menjadikan saya kuat dan tabah mendepani semuanya.Pertanyaan-pertanyaan anda tentang karya-karya seterusnya, sering memotivasikan saya untuk berkarya lepas satu,satu,satu....dan seterusnya.
Saya juga harus memohon maaf kepada anda yang pernah mengutusi saya dengan surat tetapi saya tidak membalasnya, anda menghantar email dan saya tidak memberi tindak balas, anda menghantar kad ucapan dan saya tidak pun membalasnya semula, anda mengajukan pelbagai soalan mengenai bidang penulisan dan saya tidak sempat menjawabnya, anda mengundang saya berceramah tetapi saya terpaksa menolaknya, anda mahu berguru dengan saya, tetapi saya tidak mampu melakukannya, anda mengundang saya ke majlis perkahwinan atau lain-lain keraian dan saya tidak dapat memenuhinya....jadi, maafkan lah saya.Semua itu kerana saya ada alasan yang saya kira anda boleh memahami dan memaafkannya.
Sepanjang tahun lalu kesibukan begitu menghambat. Permintaan untuk skrip drama bertambah. Kesihatan pula tidak mengizinkan untuk seaktif dulu. Beberapa bulan terlantar membuatkan novel tertangguh lagi. Kekuatan yang tersisa pada saat kesakitan mendera, saya gunakan untuk menyudahkan skrip-skrip drama yang sudah ditempah oleh rumah produksi sebelumnya. Alhamdulillah, saya tidak menghampakan mereka walaupun lambat menghantar skrip . Encik Rosyam Suhan Movie, Puan Rozie SCS, Puan Ziela Pena Kreatif , Kak Raja Bright Network, Din Enuja Production, Jinggo JS Picture, Ida..Eurofine..(dll yang tidak disebutkan si sini) maafkan akak jika lambat menghantar skrip atau tidak dapat menghantar proposal skrip seperti yang diminta... dan kepada para pengarah, Bade, Along, Zul R.Shad, Amy, Jinggo (dan yang lain-lain sebab akak tak ingat)..maafkan kerana terpaksa bersabar menunggu skrip akak! Kepada Wan Rohana ALaf21, Encik Norden Alfaf 21, maaf kerana menangguhkan novel.....kepada Datuk Haji Hushammuddin , Tuan Haji Fickry, Tuan Haji Nasir maafkan saya kerana belum menyudahkan projek yang tertangguh kerana masalah kesihatan itu.Kepada semua doakan saya segera sembuh!
Sepanjang tahun lalu, tahun yang saya anggap penuh cabaran dan menguji ketabahan!
Namun yang lebih mengesankan apabila dihentam teruk oleh seseorang melalui blog nya hanya kerana nama saya tersenarai di antara penulis-penulis yang novelnya bakal mengisi KOMSAS untuk tahun 2010 (..masalahnya...dapat ke?)..... belum apa-apa saya sudah dihujani kritikan, cemuhan, perli dan sebagainya...kesian saya! Mereka melabel sayal penulis novel popular...tetapi saya tidak pula berasa popular sehinggalah hal KOMSAS itu diperbesar-besarkan! Terima kasih juga kepada beliau kerana tolong mempopularkan saya!
Namun ALLAH sentiasa memberi kesabaran. Dan anda jugalah yang menyokong saya sepanjang saya melalui saat-saat getir itu.Kini saya siap membina kekuatan. Saya ingin kembali kepada anda semua melalui novel-novel seterusnya. Saya ingin memulakannya melalui blog ini.Blog yang dibinakan oleh seorang teman-satu-satunya teman yang tidak jemu-jemu melawat saya ketika sedang terlantar sakit, teman yang selalu berkunjung ke rumah saya di sebuah dusun teduh di Hulu Langat untuk menjenguk dan bertanya khabar, teman yang sering berkongsi suka duka ....terima kasih untuk teman ini..dia juga seorang sahabat, dan adik yang menjadi teman menangis dan ketawa...dialah yang mendorong saya membangunkan blog ini bagi memudahkan saya berinteraksi dengan anda semua....terima kasih Shima!

Mudah-mudahan blog ini menjadi wadah interaksi di antara anda dan saya.

Salam perkenalan, salam maaf dan terima kasih untuk semua.

Sharifah Abu Salem

Blog saya


Akhirnya saya ada blog sendiri...

Sudi-sudikan singgah

Sharifah Abu Salem